FEEDJIT Live Traffic Feed

Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia, 23 May 2008

Juara AF6 milik siapa?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

DIAM tak diam, program televisyen realiti paling popular di Malaysia, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) bakal melabuhkan tirainya malam esok.

Sudah pasti saat konsert akhir AF6 membuka tirainya tepat pukul 9 malam esok bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sekali lagi akan menjadi saksi lima finalis yang akan merebut gelaran juara program realiti musim keenam terbitan Astro.

Walaupun musim ini mendapat kritikan yang cukup hebat kerana mempertaruhkan pelajar-pelajar yang dikatakan tidak berbakat serta tiada potensi untuk diangkat sebagai juara, namun, ramai yang sudah mula berteka-teki siapakah yang bakal merangkul gelaran juara kali ini.

Melihatkan situasi kali ini, sesiapa sahaja mampu menjadi juara berbanding lima musim terdahulu yang menyaksikan pemenangnya sudah boleh diduga.

Tidak dinafikan pola pengundian untuk AF6 sentiasa berubah. Seperti yang semua sedia maklum, pengundi setia rancangan AF mengundi peserta kegemaran mereka berdasarkan personaliti serta latar belakang seseorang pelajar itu dan bukannya bersandarkan pada bakat mereka semata-mata.

Namun, kita semua perlu menerima hakikat bahawa bukannya semua yang begitu. Di tengah-tengah mereka yang buta seni, masih lagi ada yang celik dan pandai menilai bakat peserta kali ini.

Kelima-lima peserta yang berjaya melangkah ke peringkat akhir iaitu Stacy, Riz, Nubhan, Nadia dan Toi ternyata mempunyai keistimewaan dan bakat tersendiri.

Kelima-lima mereka mampu membuka jalan kepada pengundi dan peminat setia untuk terus mengundi mereka agar mereka dapat membawa pulang gelaran juara yang menjadi idaman mereka yang berjaya melangkah masuk ke akademi paling popular itu.

Bagi menghangatkan bahang AF6 yang kian hampir menuju ke destinasinya, Hits mengajak pembaca setia untuk melihat siapakah yang akan menyerlah dalam persembahan mereka di malam konsert akhir nanti.

* Stracie Angie Anam (Stacy)

* 18 tahun

* Lagu-lagu yang akan dipersembahkan:

1) Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa)

2) Aku Stacy (lagu baru)

PELAJAR kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini merupakan salah seorang pelajar yang cukup menyerlah sejak dari konsert yang pertama lagi.

Dia juga cukup bijak mewarnakan persembahannya dengan gaya yang tersendiri tanpa mengikut acuan daripada mana-mana penyanyi asal menerusi lagu yang telah ditugaskan kepadanya.

Agak jarang juga untuk melihat Stacy mengecewakan peminat, pengundi serta pengkritik setiap minggu menerusi persembahannya.

Sememangnya tidak mustahil untuk peminat setia Christina Aguilera ini untuk merangkul gelaran juara sekali gus menjadikan dia peserta wanita kedua selepas Mila yang memegang takhta idaman ramai itu.

Cuma, bimbang juga seandainya dia akan melakukan kesilapan kecil yang akan menjejaskan prestasi persembahannya pada malam esok namun, melihat perkembangan Stacy sepanjang 10 minggu di AF, kebarangkalian untuknya melakukan kesilapan adalah kecil.

Bukan untuk bersikap prejudis mahupun berlaku tidak adil kepada pelajar lain, tetapi itulah hakikat yang harus diterima apabila berbicara tentang kehebatan persembahan dinamik Stacy di atas pentas.

Stacy cukup bertuah kerana dikurniakan dengan bakat dan vokal yang cukup mantap sehingga ada yang mengatakan dia antara peserta wanita terbaik sepanjang enam musim AF diadakan.

Malah, vokalnya cukup unik dan dia juga dilihat mampu untuk meletakkan dirinya sebagai bakat baru yang perlu diberi perhatian agar sinarnya terus bergemerlapan tanpa ada awan mendung yang akan melitupi sinaran gemilang itu.

l Mohammed Idris

Mohd. Zaizizi (Riz)

l 22 tahun

l Lagu-lagu yang akan dipersembahkan:

1) 11 Januari(dendangan asal kumpulan Gigi)

2) Hanya Sandiwara(lagu baru)

SAINGAN hebat kepada Stacy sudah semestinya anak muda kelahiran Gerik, Perak Darul Ridzuan ini.

Seperti Stacy, Riz juga jarang menghampakan penonton dan pengundi setianya menerusi persembahannya.

Bermula dengan konsert pertama dengan membawakan lagu Ketulusan Hati, Riz sudah mula memikat hati pengikut setia AF bahawa dia mampu untuk menambahkan lagi koleksi penyanyi lelaki tempatan dengan suaranya yang tersendiri.

Namun, kelemahan Riz yang dapat dilihat apabila dia sukar memberikan fokus sehingga menyebabkan persembahannya terjejas seandainya lagu-lagu yang diterimanya itu tidak menepati jiwanya itu.

Memang benar, untuk menjadi seorang penyanyi yang baik bukan semua lagu mampu dibawakan kerana ada sesetengah lagu yang sememangnya tidak sesuai dengan suara.

Dalam masalah Riz, kelemahannya itu cukup jelas dilihat pada konsert kelapan tempoh hari saat dia diberi tugasan membawakan lagu Laskar Cinta yang menyebabkan persembahannya dikatakan paling teruk sepanjang di berada di dalam AF.

Bak kata pengetua AF6, Ramli M.S, seandainya Riz ketika itu dapat menyelami maksud lagu tersebut, nescaya dia mampu memberikan persembahan yang hebat dan bertenaga sekali.

Diberikan lagu 11 Januari dan sebuah lagu baru, Hanya Sandiwara, tidak mustahil untuk Riz membawakan lagu tersebut dengan baik terutama 11 Januari kerana lagu yang berjalurkan sedemikian sememangnya cocok dengan vokal Riz itu.

Siapa tahu, dengan kehebatan kuasa para pengundi setianya, Riz mampu memecah monopoli pelajar wanita untuk bergelar juara.

l Ahmad Nubhan Ahmad (Nubhan)

l 22 tahun

l Lagu-lagu yang akan dipersembahkan:

1) Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz)

2) Ada Untukmu (lagu baru)

ANAK kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini sememangnya cukup bertuah kerana dia dikurniakan dengan tone suara yang begitu unik dan jarang ada pada penyanyi lelaki yang sedia ada.

Malangnya, peminat setia Datuk Siti Nurhaliza ini tidak pandai untuk membawa vokalnya ke tempat yang sepatutnya lantas menjadikan persembahannya begitu hambar setiap minggu.

Walaupun kadang kala menampakkan peningkatan dalam persembahannya dan sering diberikan lagu yang secocok dengan vokalnya, tetapi ia belum cukup untuk menyerlahkan vokal dan identiti sebenar Nubhan.

Seharusnya, Nubhan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan daripada peminat dan penyokongnya untuk mengundinya berdasarkan bakatnya dan bukan semata-mata personalitinya yang mendapat perhatian ramai itu.

Diberikan lagu Bukan Di Sini sudah cukup baik buat Nubhan kerana lagu-lagu berjalur sedemikian memang kena dengan vokalnya itu tetapi seandainya dia gagal untuk mencuri perhatian dengan lontaran vokal yang lebih baik, namun peluangnya untuk bergelar juara agak tipis.

Apa yang pasti, Nubhan akan mencuri perhatian pengundinya berdasarkan personalitinya. Tetapi seandainya, dia berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan menerusi persembahannya, dia berjaya membuktikan bahawa dia hadir di AF6 dengan bakatnya yang unik itu.

l Nadia Haswani Hasnan (Nadia)

l 18 tahun

l Lagu-lagu yang akan dipersembahkan:

1) Aku Lebih Tahu (dendangan asal Mila)

2) Kalut Lagi Mengarut (lagu baru)

SUDAH semestinya merupakan saingan hebat kepada Stacy untuk dinobatkan sebagai juara. Kedua-duanya memiliki kemampuan vokal yang tersendiri.

Tidak seperti Stacy, persembahan Nadia dilihat tidak begitu konsisten saban minggu apabila dia membuat persembahan.

Kadang kala di atas pentas, dia berjaya memberikan persembahan yang menarik serta menonjolkan sisi lain dirinya. Tetapi, apa yang kurang menarik tentang Nadia adalah ada kalanya persembahannya dilihat begitu keterlaluan dan dibuat-buat.

Mungkin sudah mengetahui dirinya merupakan antara peserta kegemaran yang akan melangkah kemas ke peringkat akhir menjadikan dirinya begitu over confident lantas ‘mencacatkan’ persembahannya.

Ini dapat dilihat pada persembahannya menerusi lagu Karma pada konsert kelapan. Disebabkan itu juga, penonton sendiri menyedari bahawa persembahannya tidak begitu memberangsangkan lantas menjadikan Nadia mendapat undian terendah sehingga menjadikan dirinya yang sepatut disingkirkan minggu itu.

Semoga Nadia mampu memberikan persembahan yang bagus serta menjadi dirinya sendiri dan mengaplikasikan segala ilmu yang telah dicurahkan dengan sebaiknya.

l Khairul Nizam Baharom (Toi)

l 31 tahun

l Lagu-lagu yang akan dipersembahkan:

1) Cinta Zulaikha (dendangan asal Mawi)

2) Paling Terindah (lagu baru)

PELAJAR kelahiran Johor Bahru, Johor ini sudah semestinya bukanlah calon kegemaran untuk melangkah ke peringkat akhir.

Tetapi, sudah termaktub di azali bahawa seandainya jari yang menjadi juri, kita tidak mampu berkata apa tentang segala keputusan yang telah dilakukan melainkan serah kepada kehendak takdir sahaja.

Bukan untuk menidakkan bakat bapa kepada dua orang anak ini tetapi sepanjang dia hadir dalam perjalanan AF6, Toi tidak dilihat memberikan impak yang besar dalam setiap persembahannya.

Setiap lagu yang disampaikan bagaikan layu di hujung mekar dan tidak bertenaga langsung. Malah, setiap persembahannya tiada satu pun yang boleh dikenang sebagai sebuah persembahan yang hebat dan diingati sampai bila-bila.

Cuma saat dia mendendangkan lagu Kasih Berduka dan Kau Yang Bernama Seri pada konsert kelapan dan kesembilan, terserlah sedikit kemampuannya untuk beraksi di atas pentas AF6 tersebut dan mendapat pujian daripada dua pengkritik tetap iaitu Fauziah Ahmad Daud dan Ning Baizura.

Diberikan lagu Cinta Zulaikha dan Paling Terindah, siapa tahu rezeki akan menjadi milik Toi. Bukankah minggu lepas namanya berada di carta teratas sebaik sahaja undian ditutup. Tidak mustahil untuknya diberikan dengan gelaran juara.

Post a Comment

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP