FEEDJIT Live Traffic Feed

Rebiu Utusan Malaysia Koncert 9 AF6, 20 May 2008

Perang’ kelab peminat di final AF6

Oleh ABD. AZIZ ITAR

aziz.itar@utusan.com.my









AC Mizal (kiri) ketika mengumumkan lima peserta yang layak ke final AF6 (dari kanan) Toi, Nubhan, Riz, Nadia dan Stacy pada konsert minggu kesembilan program TV realiti itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. – Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN



--------------------------------------------------------------------------------



KONSERT akhir Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) yang bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 24 Mei ini akan menyaksikan perang sepanduk dan poster ribuan ahli kelab-kelab peminat lima finalis program televisyen (TV) realiti tersebut.



Dijangka kelab-kelab peminat yang menyokong Nadia, Stacy, Riz, Nubhan dan Toi akan memenuhi separuh daripada ruang stadium dengan kapasiti lebih 10,000 tempat duduk pada pertandingan nyanyian anjuran stesen Astro Ria itu.



Pengurus saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, kesemua ahli kelab lima finalis terbabit akan dijemput bagi memeriahkan lagi konsert akhir AF6 itu serta memberi sokongan pada kepada para peserta pilihan mereka.



“Saya difahamkan setiap finalis mempunyai kelab peminat dan blog mereka sendiri di Internet. Kami akan memberi keutamaan kepada mereka untuk hadir bagi memeriahkan lagi konsert pada malam itu nanti. Saya jangkakan lebih 2,000 ahli kelab mereka yang akan datang.



“Ini kerana, setiap finalis mempunyai tidak kurang daripada 500 ahli kelab. Sementara itu, saya jangkakan tidak kurang 6,000 penonton akan memenuhi ruang stadium pada konsert akhir AF6 itu kelak,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu ke-9 AF6 di Dewan Sivik, Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Sebagai contohnya, Stacy yang mempunyai seramai 680 ahli Kelab Stacy’s Frenz dijangka akan meriuhkan lagi suasana apabila presiden kelab itu, Kos Sarani akan membawa sama penyokong mereka dari Kota Kinabalu, Sabah pada konsert itu.

Selain itu, ahli-ahli kelab Nadia iaitu Nadia Haswani Fan Club dengan 500 ahli, Riz Fan Club. Forumotion (174 ahli) dan Nubhan Fan Club (436 ahli) serta ribuan lagi ahli baru yang belum mendaftar dijangka akan turut hadir bagi memberi sokongan kepada finalis pilihan masing-masing.



Menurut Khairul Mizan, Astro juga akan menjemput peserta AF6 yang telah tersingkir iaitu Stanly, Yana, Ika, Lufya, Naim, Faisal, Saida, Rina dan Alif hadir sama memberi sokongan moral kepada rakan-rakan mereka.



Bagaimanapun, untuk memberi ruang yang lebih adil kepada setiap peserta katanya, mulai 17 Mei lalu hingga malam kemuncak AF6, Astro akan menghentikan khidmat red button dan status Afundi (Akademi Fantasia Undi).



“Dengan adanya kaedah itu, secara tidak langsung ia akan memberi ruang kepada setiap peserta untuk muncul juara AF6. Untuk itu para penonton harus berterusan menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada calon pilihan mereka.



“Ini kerana, SMS hanya merupakan suatu interaksi para penonton terhadap program ini,” ujarnya yang menjangkakan konsert kemuncak AF6 itu akan mengambil masa sekitar dua jam setengah menerusi siaran langsung di Astro Ria.



Bagaimanapun beliau tidak berani untuk mensasarkan berapakah jumlah atau peratusan SMS yang dijangka akan dihantar oleh para penonton pada konsert akhir AF6 nanti.

Malah, Khairul Mizan juga enggan mengulas lanjut tentang hadiah para pemenang AF6 yang dikatakan lebih lumayan iaitu keseluruhannya bernilai RM867,407 di mana ia dikatakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.



Sebagai contohnya, juara AF6 kelak akan menerima sebuah banglo empat bilik di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka berharga RM550,000, kereta Peugeot 307 XS (RM139,535), wang tunai (RM25,000), pakej percutian 7 hari lima malam ke Afrika Selatan (RM8,000), pakej pelancongan ke New York, Amerika Syarikat (RM10,000) dan trofi (RM1,199).



“Bagi saya, hadiah bukanlah tarikan utama dalam AF. Ia adalah tentang proses pencarian bakat sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan bagi mengisi generasi pelapis dalam industri hiburan pada masa depan,” komennya.

Selain juara AF6, naib juaranya pula akan menerima hadiah keseluruhannya bernilai RM96,076, tempat ketiga (RM21,199), tempat keempat (RM9,199) dan tempat kelima (RM7,199).



Sementara itu, pengetua AF6, Ramli MS beliau turut menjangkan konsert akhir program TV realiti itu akan menjadi lebih meriah dan ‘hidup’ kerana setiap peserta diberi peluang menyanyikan lagu-lagu mengikut minat serta kecenderungan masing-masing.

Katanya, dia mewakili para tenaga pengajar AF6 dan pihak Astro sudahpun memilih dan menetapkan lagu-lagu yang akan dinyanyikan oleh lima finalis tersebut. “Saya rasa pendekatan seperti itu akan membolehkan setiap peserta menghayati dan membawakan lagu-lagu dengan sebaik mungkin. Kami memang sudah mula mengenal pasti kecenderungan dan lagu-lagu yang sesuai untuk setiap peserta,” jelasnya selepas berakhirnya konsert minggu kesembilan itu.



Pada konsert itu, selain persembahan para peserta, turut diadakan ialah segmen penghargaan kepada penulis lirik, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

Menerusi segmen itu, bekas finalis AF sebelum ini iaitu Faizal, Aizat, Sahri dan Velvet telah menyampaikan lirik lagu ciptaan Loloq seperti Persis Mutiara, Lihatlah serta Aduh Saliha ambil diiringi petikan gitar akustik Izo (XPDC) dan Jembu (Def-Gab-C).



Konsert kemuncak AF6 akan berlangsung mulai pukul 9 malam itu akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan diacarakan oleh AC Mizal.

Post a Comment

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP